photo funclub

Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

photo fun club


    Ibu tiri layar Facebook

    Admin
    Admin
    Admin


    Posts : 49
    Join date : 12/04/2010
    Age : 47
    Location : bumi Allah

    Ibu tiri layar Facebook Empty Ibu tiri layar Facebook

    Post  Admin Thu Oct 14, 2010 1:21 am

    SAYA anak sulung daripada empat beradik. Saya ada ibu tiri yang dikahwini bapa saya lima tahun lalu. Perkahwinan itu disebabkan ibu kandung saya meninggal dunia.


    Selama lima tahun ibu tiri menjadi ahli keluarga, dia tidak pernah memakai tudung, apatah lagi bersolat. Saya malu kerana dia tidak menutup aurat, malah pakaiannya boleh dikatakan menjolok mata. Dia juga tidak memasak untuk saya sekeluarga.

    Banyak masanya dihabiskan dengan bermain Facebook dan menonton televisyen. Saya terkilan dengan sikapnya yang pentingkan diri, namun saya mendiamkan diri kerana tidak mahu timbul konflik dalam keluarga selain kasihankan ayah.

    Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Saya beberapa kali memberitahu ayah supaya menegur ibu tiri saya untuk berubah, tetapi tiada apa-apa berubah.

    Saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dia berubah, lebih-lebih lagi pada Ramadan ini. Saya ingin minta pendapat Dang Setia, apakah hukumnya jika anak yatim diperlakukan begini?

    Adakah saya dan adik saya dianiaya? Saya harap Dang Setia dapat membantu saya. Saya tidak mahu menjadi anak derhaka.


    INSAN TERKILAN
    Kedah


    Tonggak sesebuah keluarga ialah ukhwah dan silaturahim. Oleh itu dalam menghadapi kerenah melampau ibu tiri, saudari serta adik beradik lain perlu duduk semeja dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

    Anda semua perlu bersatu dan tindakan dilakukan pula harus berhemah, sebaik-baiknya tidak menyinggung perasaan ayah dan paling penting, tidak bertentangan dengan syariat Islam.

    Perhatikan, teliti dan kaji sikap ayah saudari, adakah berlaku perubahan ketika bersama arwah ibu dan selepas berkahwin dengan ibu tiri. Kalau ada perubahan pada bapa saudari, terutama ibarat ‘kerbau dicucuk hidung’, Dang Setia khuatir ada kemungkinan wujud unsur sihir atau perbomohan.

    Tambahan pula, bukan luar biasa dalam masyarakat hari ini pelbagai kaedah yang syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam digunakan untuk memperoleh apa diinginkan.

    Justeru, Dang Setia berpendapat tidak salah untuk saudari dan adik beradik lain mendapat pertolongan ustaz atau orang alim yang berkemahiran dalam kaedah perubatan mengikut syariat Islam. Ingat, jumpa ustaz dan bukan bomoh.

    Ada perbezaan ketara dalam kaedah perubatan ustaz dengan bomoh, contohnya ustaz membaca doa yang dipetik daripada ayat al-Quran, manakala bomoh pula membaca jampi serapah dan banyak lagi perbezaan lain.

    Yakinlah, ayat Allah lebih berkuasa dan mampu menundukkan jampi serapah serta gangguan syaitan.

    Pada masa sama, saudari dan adik beradik tidak harus terikut-ikut rentak ibu tiri. Perlu diingat, ayah saudari adalah mangsa dalam masalah ini.

    Dia mungkin menderita dengan segala tindakan isterinya, jadi saudari serta adik beradik lain tidak harus menambah bebanannya.

    Sebaliknya, saudari dan adik beradik harus memastikan fokus anda semua adalah untuk menolong ayah dan bukan menyusahkan sesiapa. Biarpun ibu tiri bersikap keterlaluan, jangan dibalas perbuatannya dan serahkan soalan pembalasan kepada Allah.

    Selain itu, yakin bahawa kebenaran akan terserlah jua akhirnya. Hari ini, mungkin kemenangan memihak kepada ibu tiri, namun apabila kebenaran ditegakkan kelak, tiba pula hari untuk saudari dan pada ketika itu pasti dia akan menanggung akibatnya.


      Current date/time is Sun May 12, 2024 9:41 am