photo funclub

Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

photo fun club


    Mahkamah denda 14 bekas kadet pelatih KTU cedera pelatih baru

    Admin
    Admin
    Admin


    Posts : 49
    Join date : 12/04/2010
    Age : 47
    Location : bumi Allah

    Mahkamah denda 14 bekas kadet pelatih KTU cedera pelatih baru Empty Mahkamah denda 14 bekas kadet pelatih KTU cedera pelatih baru

    Post  Admin Sun Oct 10, 2010 9:38 pm

    JITRA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda antara RM1,000 dan RM3,000 terhadap 14 bekas kadet pelatih Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (KTU) Kepala Batas, dekat sini selepas mereka mengaku salah mencederakan seorang pelatih junior lebih tiga tahun lalu.

    Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin ketika membuat keputusan itu menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau dua bulan penjara terhadap dua tertuduh utama iaitu Muhamad Yusof, 25, dan Mohd Sufian Mamat, 24.Ahzal Fariz juga menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara terhadap 12 lagi tertuduh iaitu Azharul Abdullah, Phana a/l Achuan, Wan Aiman Wan Bahruddin, Mohd Hishamudin Mohamed Suhaimee dan Umar Anas Abd Halim. Tertuduh lain, ialah Mohd Izwhan Zulkapli, Mohd Ezuan Ahmad Moxni, Mohd Rizuan Jamaludin, Mohamad Zhafri Hanafi, Mohd Fauzi Ishak, Ahmad Hafiz Sulaiman dan Abdullah Arobi Mohd Rosli.

    Bagaimanapun, semua tertuduh membayar denda berkenaan.

    Semua tertuduh terbabit yang kini berusia 22 hingga 25 tahun masing-masing menghadapi tuduhan berasingan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan pelatih Diploma Kejuruteraan Aeronautik KTU, Muhammad Hazim Ahmad Azman di Belakang Blok Kenyalang, Wisma Pegawai Kadet, Kem Tanah Merah pada 27 Januari 2007 antara jam 9 dan 11 pagi.

    Dua daripada mereka iaitu, Muhamad dan Mohd Sufian turut menghadapi tuduhan tambahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Hazim menggunakan senjata atau objek berbahaya.
    Muhamad dituduh mencederakan Muhammad Hazim dengan mencurahkan air panas ke atas mangsa pada 27 Januari lalu di Wisma Kadet, Kem Tanah Merah antara jam 9 hingga 11 pagi.

    Mohd Sufian pula didakwa menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dengan memaksanya berdiri di atas kayu berpaku pada tarikh dan masa sama.

    Sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Seksyen 324 pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, didenda atau sebat atau dua daripada hukuman berkenaan.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Nurul Huda Idris, manakala semua tertuduh diwakili oleh M Athimulan.

    Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bersidang sebelum ini menamatkan perkhidmatan 14 pelatih terbabit dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuatkuasa pada 24 Julai 2007 selepas mereka terbabit dalam kes penderaan ala Penjara Abu Ghraib terhadap Muhammad Hazim.

    Keputusan MAT itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk bagi memelihara kredibiliti dan keutuhan ATM, khususnya TUDM.

    Sementara itu, Ahmad Azman Ghazali, 50, yang ditemui selepas selesai itu berkata, sehingga kini semua tertuduh terbabit masih belum meminta maaf kepada keluarganya dan Muhammad Hazim berhubung perbuatan mereka membuli anaknya itu.

    "Saya bersyukur kerana akhirnya kes ini selesai selepas menunggu lebih tiga tahun dan berharap mereka yang terbabit itu menjadi manusia yang berguna dengan menjadikan apa yang berlaku itu sebagai pengajaran," katanya.

      Current date/time is Tue May 21, 2024 2:06 am